NEW DELHI: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Ahad menggesa tindakan lanjut masyarakat dunia untuk memerangi Islamofobia selepas mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Eksekutifnya di Jeddah.

Dalam pernyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat untuk membincangkan perbuatan mencemari kesucian al-Quran di Sweden baru-baru ini, kumpulan 57 negara itu menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan sikap tidak bertoleransi, diskriminasi dan keganasan terhadap umat Islam selain menegaskan Islamofobia semakin meningkat di banyak bahagian dunia.

Menurut OIC, pihaknya amat bimbang dengan "kemunculan semula gerakan perkauman dan ekstremisme di beberapa wilayah di dunia melalui tindakan provokasi berulang oleh penyokong sayap kanan yang menghina simbol Islam dan kesuciannya".

Sweden berdepan kecaman meluas dunia Islam selepas seorang lelaki mengoyak dan membakar al-Quran dengan kebenaran polis di luar Masjid Pusat Stockholm pada 28 Jun, hari pertama Aidiladha.

Negara anggota menggesa Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha "untuk mempertimbangkan mengadakan lawatan rasmi ke Stockholm dan Suruhanjaya Kesatuan Eropah untuk menyatakan kecaman terhadap insiden itu" dan meminta mereka mencegah perbuatan tersebut di bawah alasan kebebasan bersuara.

OIC juga digesa meletakkan penodaan kitab suci dan simbol Islam dalam agenda mesyuarat penyelarasan menteri luar OIC di luar mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan datang di New York dan sidang kemuncak Islam di Gambia untuk mengambil tindakan selanjutnya menangani Islamofobia.

Badan antarabangsa itu juga mengalu-alukan penganjuran persidangan antarabangsa mengenai Islamofobia dan diskriminasi anti-Muslim dari 22 hingga 23 Ogos di Kuala Lumpur dengan penyelarasan Sekretariat Agung OIC.

-- BERNAMA