KUALA LUMPUR: Omicron tidak akan menjadi varian terakhir, sebaliknya terdapat kemungkinan besar akan berlaku kemunculan varian-varian lain.

Perkara itu ditegaskan oleh Pakar Penyakit Berjangkit dari London School of Hygiene and Tropical Medicine, Profesor Annelies Wilder-Smith pada sesi  Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 bertajuk 'COVID-19: What’s Next?'.

Annelies turut memberi amaran kepada seluruh dunia agar bersedia dengan situasi yang lebih buruk termasuk kombinasi varian yang memiliki kebolehjangkitan yang tinggi.

"Omicron tidak akan menjadi varian terakhir, jelas dengan peredaran virus yang begitu tinggi seperti yang kita lihat sekarang, terdapat kebarangkalian tinggi bahawa kita akan mempunyai varian lain.

"Persoalannya, di mana dan bila? Dan adakah ia akan berbahaya atau kurang berbahaya daripada varian membimbangkan (VOC)?

"Di mana dan bila, saya rasa dengan peredaran virus yang tinggi, anda lihat Aplha di UK, Delta di India, (dan) ia mungkin lebih rendah untuk Omicron.

"Adakah ia menjadi lebih berbahaya? Sudah tentu kita semua berharap, ia tidak akan dan berdasarkan kelebihan virus berevolusi, kemungkinan besar ia akan menjangkiti anda," katanya dalam forum tersebut, pada Isnin.

Ahli panel yang turut menyertai forum tersebut adalah Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit, Dr Anthony Fauci; Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel; serta Ketua Pegawai Eksekutif, Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI), Richard Hatchett.

Dalam perkembangan sama, Stephane berkata pemberian dos vaksin terhadap varian Omicron adalah berkesan.

Beliau menambah syarikat pengeluar vaksin yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu juga sedang berusaha menghasilkan satu dos penggalak untuk digunakan bagi perlindungan terhadap COVID-19 dan selesema.

"Apa yang kami lakukan sekarang adalah bersedia untuk susulan vaksin pada tahun 2022, apa yang sepatutnya terkandung dan pakar kami bekerjasama dengan pakar awam seperti pasukan Dr Fauci untuk memikirkan perkara ini.

"Ini kerana tidak lama lagi kami perlu memutuskan apa yang yang terkandung dalam vaksin untuk 2022," ujarnya.

Sementara itu, Richard menegaskan perkara paling utama perlu dilakukan ketika ini adalah untuk memastikan vaksin tersedia kepada semua yang memerlukan.

"Saya fikir matlamat boleh dicapai pada tahun 2022 dengan pengeluaran vaksin yang kita ada, membantu semua negara membina keupayaan melakukan program vaksinasi secara besar-besaran untuk diberikan  kepada penduduk," ujarnya.

Varian Omicron pertama kali dikesan di Afrika Selatan pada November 2021.