Osaka: Bekas pesakit COVID-19 dijangkiti semula

Bernama
Februari 27, 2020 06:28 MYT
Virus mungkin kembali semula dalam badan pesakit, kata ketua jabatan kesihatan dan perubatan wilayah Osaka, Mutsuko Fujii. - Gambar hiasan
Seorang bekas pesakit COVID-19, disahkan dijangkiti semula virus itu, lapor Jiji Press memetik kerajaan wilayah Osaka pada Rabu.
Pesakit itu seorang konduktor bas pelancongan berusia 40-an.
Wanita berkenaan mula disahkan dijangkiti penyakit itu pada 29 Januari selepas mengendalikan kumpulan pelancong termasuk dari Wuhan China, tempat wabak itu mula menular.
Selepas keadaannya bertambah baik, beliau dibenarkan keluar hospital pada 1 Februari.
Pada 19 Februari, beliau mengadu tidak selesa di bahagian tekak serta mengalami sakit dada dan dimasukkan semula ke hospital.
Ujian yang dijalankan mendapati beliau positif dijangkiti semula virus itu.
Menurut pegawai, wanita itu tidak berhubung rapat dengan orang lain sejak dibenarkan keluar hospital.
"Virus itu mungkin kembali semula dalam badan pesakit," kata ketua jabatan kesihatan dan perubatan wilayah Osaka, Mutsuko Fujii.
-- BERNAMA
#bas pelancongan #Bekas pesakit #COVID-19 #konduktor bas #osaka #pesakit #virus #wabak