ISLAMABAD: Pihak berkuasa di Pakistan memberi amaran kemungkinan negara itu mengambil masa sehingga enam bulan untuk pulih daripada banjir, terutamanya beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.

Hal itu disuarakan ketika kebimbangan terhadap ancaman penyakit bawaan air termasuk taun dan denggi, semakin meningkat.

Banjir yang disebabkan oleh hujan monsun dan pencairan glasier di kawasan pergunungan di utara Pakistan setakat ini telah meragut nyawa lebih 1,400 orang, dan menjejaskan kira-kira 33 juta lagi penduduk.

Nilai kemusnahan dijangka mencecah lebih AS$30 bilion, tiga kali ganda daripada anggaran awal iaitu sekitar AS$10 bilion.

“Karachi sedang mengalami wabak denggi dan ribuan pesakit dibawa ke hospital setiap hari. Kes denggi tahun ini adalah 50 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas. Dengan 584,246 orang hilang tempat tinggal, krisis kesihatan boleh mendatangkan malapetaka jika ia tidak dibendung," kata Menteri Iklim Pakistan, Sherry Rehman.

Rehman memberi amaran bahawa negara itu kini menghadapi isu kekurangan makanan, berikutan kemusnahan sehingga 70 peratus tanaman ruji seperti beras dan jagung, dan mereka amat memerlukan "makanan, khemah dan ubat-ubatan."

Banjir juga dijangka semakin buruk, terutamanya di kawasan di sepanjang Sungai Indus di wilayah Sindh, dengan ramalan meteorologi menunjukkan hujan berterusan dijangka berlaku hingga September.

Dalam satu kenyataan Isnin lalu, Ketua Menteri Sindh Murad Ali Shah berkata hujan monsun yang berpanjangan membuatkan kerja-kerja membersihkan air mengambil masa yang lama, dengan anggaran antara tiga hingga enam bulan.

Beliau menambah, tasik air tawar terbesar di negara itu, Manchar, telah melimpah sejak awal September, menjejaskan ratusan buah kampung dan lebih 100,000 penduduk.

“Kami sedang mempercepatkan usaha menyediakan ubat-ubatan dan rawatan kepada 81 daerah yang dilanda banjir di negara ini. Bagaimanapun, ini masih anggaran awal kerana situasi akan bergantung kepada data semasa,” kata Shah.