SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II dalam satu upacara khas yang diadakan di bangunan Parlimen di Canberra pada Sabtu.

Turut hadir Gabenor-Jeneral David Hurley dan beberapa orang kenamaan yang sama-sama meletakkan lingkaran bunga di kaki patung gangsa Ratu Elizabeth II.

Patung berkenaan terletak di Queen's Terrace di perkarangan bangunan Parlimen.

Ratu Elizabeth, 96, yang mangkat pada Khamis, merasmikan sendiri patung tersebut ketika lawatan baginda ke Australia pada tahun 1988.

Sebagai tanda penghormatan, bendera Australia dikibar separuh tiang pada Jumaat dan 96 das tembakan meriam dilepaskan di bangunan Parlimen.

Albanese turut menzahirkan ucapan takziah kepada kerabat diraja, kerajaan dan rakyat United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

"Hari ini hanya untuk satu perkara sahaja iaitu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II," katanya.

Sepanjang pemerintahannya, Ratu Elizabeth II telah membuat sebanyak 16 lawatan ke Australia, yang pertama pada tahun 1954 dan yang terakhir adalah pada 2011.