PERDANA Menteri Britain Boris Johnson pada Selasa memohon maaf selepas didenda kerana menghadiri parti di Downing Street pada 19 Jun tahun lalu, ketika pandemik COVID-19 melanda.

Namun, beliau enggan meletak jawatan dan menafikan sebarang salah laku serta mendakwa beliau tidak menyedari telah melanggar peraturan kerajaan.

Parti itu merupakan majlis hari jadi kejutan sempena ulang tahun kelahirannya.

"Hari ini, saya telah menerima notis penalti tetap daripada Polis Metropolitan berkaitan dengan acara di Downing Street pada 19 Jun 2020 dan izinkan saya memberitahu bahawa saya telah membayar denda itu dan saya sekali lagi memohon maaf sepenuhnya.

“Terdapat perhimpunan ringkas di Bilik Kabinet sejurus selepas jam 2 petang, berlangsung kurang daripada 10 minit, di mana orang yang bekerja dengan saya dengan baik hati menyampaikan ucapan mereka.

"Dan, saya harus katakan secara terus terang, pada masa itu, saya tidak terfikir bahawa ini mungkin melanggar peraturan.

“Tetapi sudah tentu, polis telah mendapati sebaliknya dan saya menghormati sepenuhnya hasil siasatan mereka.

"Saya memahami kemarahan orang ramai yang merasakan saya sendiri gagal mematuhi peraturan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan yang saya pimpin untuk melindungi orang ramai.

"Dan saya menerima dengan seikhlas hati bahawa orang ramai berhak untuk mengharapkan yang lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah denda yang dibayar Johnson.

Dengan perkembangan terbaru ini juga, beliau merupakan pempimpin Britain pertama didapati bersalah kerana melanggar undang-undang sekatan COVID-19 semasa memegang jawatan.

Turut didenda, Menteri Kewangan Rishi Sunak.

Ketika ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan, Johnson menyatakan telah membayar denda itu dan memohon maaf tetapi akan terus memegang jawatannya.

Lawan politik dan beberapa ahli Parti Konservatif yang memerintah, sebelum ini berkata, Johnson harus meletak jawatan jika beliau dikenakan denda.

Kerajaan Johnson gempar dengan kemarahan orang ramai mengenai pendedahan bahawa kakitangannya mengadakan parti di pejabat antara 2020 dan 2021, ketika rakyat Britain dilarang bertemu dengan rakan dan keluarga susulan sekatan COVID-19 dilaksanakan kerajaan.