NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sidang tergempar pada 10 Okt (Isnin) berhubung aneksasi (pengilhakan) Rusia ke atas wilayah Ukraine, menurut seorang jurucakap.

Ukraine dan Albania meminta sidang itu diadakan selepas Rusia memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengecam referendum "haram" yang disokong Moscow untuk menggabungkan bahagian timur Ukraine, lapor Agensi Anadolu.

Referendum dan pengumuman pengilhakan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin menerima kecaman meluas masyarakat antarabangsa.

Perhimpunan Agung 193 anggota itu akan membincangkan mengenai pengilhakan empat wilayah Ukraine iaitu Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson yang disifatkan mencabuli undang-undang antarabangsa.

Menurut diplomat, Kesatuan Eropah telah merangka satu resolusi untuk badan PBB itu menimbangkan mengecualikan Rusia daripada komuniti antarabangsa jika diundi.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy telah menuntut Rusia dikecualikan daripada semua organisasi antarabangsa.

-- BERNAMA