NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bimbang dengan kemaraan kumpulan Taliban di Afghanistan.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, pertempuran di kawasan bandar berpotensi membahayakan keselamatan orang awam.

Taliban menawan bandar ketiga terbesar di Afghanistan pada Khamis dan ibu kota strategik iaitu Kabul pada hari yang sama.

Keadaan itu memberi tekanan kepada kerajaan Afghanistan selepas beberapa minggu sebelum berakhirnya misi ketenteraan Amerika Syarikat di negara itu.

"Setiausaha Agung PBB mengikuti rapat perkembangan membimbangkan di Afghanistan, termasuk pertempuran terbaharu di Herat dan Kandahar.

"Kami sangat bimbang dengan pertempuran yang berlaku di kawasan bandar kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam," katanya.

Jelas Dujarric lagi, perbincangan di Doha minggu ini antara wakil Republik Islam Afghanistan dan Taliban bersama dengan utusan serantau dan antarabangsa diharap akan membuahkan hasil kepada penyelesaian konflik berkenaan.

Penguasaan Herat menandakan kemenangan besar bagi Taliban yang telah menawan 11 daripada 34 wilayah di Afghanistan selama beberapa minggu.

Taliban turut sama merampas masjid besar bersejarah dan bangunan-bangunan kerajaan.

Dengan keadaan keselamatan yang semakin merosot, Amerika Syarikat menghantar 3,000 tentera untuk memindahkan beberapa anggota dari Kedutaan Amerika Syarikat di Kabul.

Pada masa sama, Britain menghantar sekitar 600 tentera yang bakal dikerahkan dalam waktu terdekat untuk memberi sokongan kepada warganya meninggalkan Afghanistan.