PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan dengan perkembangan di mana kira-kira 1 bilion manusia di 43 negara berisiko dijangkiti taun.

Pengurus Insiden PBB untuk tindak balas taun global, Henry Gray berkata, walaupun wabak tersebut boleh dihentikan, dunia berdepan isu kekurangan sumber yang sangat kritikal.

Agensi kesihatan PBB itu berkata, kira-kira AS$640 juta diperlukan untuk memerangi penyakit berjangkit berkenaan.

Pada masa sama, semakin banyak tempoh diperlukan untuk mengatasinya dan keadaan akan menjadi lebih buruk.

Selain itu, Gray berkata, kempen vaksinasi juga terjejas teruk disebabkan akses dan kemiskinan.

Setakat tahun ini, sejumlah 24 negara melaporkan penularan wabak taun berbanding 15 pada pertengahan Mei tahun lalu.

Negara-negara yang biasanya tidak terjejas oleh taun kini mengalaminya dan kadar kematian kes jauh melebihi kadar biasa satu dalam 100 individu.

Gray menyatakan, peningkatan penyakit itu disebabkan kemiskinan, konflik dan perubahan iklim serta perpindahan penduduk yang menyumbang kepada faktor pencetusnya.

Ujar beliau, dengan pertambahan bilangan negara yang terjejas akibat taun, sumber yang ada untuk pencegahan dan tindak balas semakin tipis.

Katanya, sebagai contoh lebih 18 juta dos vaksin taun oral diperlukan untuk tahun ini, tetapi yang diperoleh hanya 8 juta dan justeru itu kempen pencegahan dihentikan.

Gray berkata, daripada dua dos penuh hanya satu yang dikeluarkan kepada penerima.

Taun atau kolera menular daripada bakteria yang biasanya disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar.

Ia mengakibatkan cirit-birit dan muntah dan boleh membahayakan kanak-kanak kecil.