KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlukan pembaharuan untuk mengukuhkan lagi keberkesanannya selepas melalui perubahan ketara sejak badan dunia itu wujud 75 tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya pada Sesi Debat Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-76 malam ini, berkata, ia penting bagi memastikan keberkesanan fungsi PBB sebagai organisasi pelbagai hala, telus dan berkredibiliti.

"Semasa penubuhannya, kita melihat PBB sebagai penyelamat manusia dari krisis perang.

"Hari ini, kita meletakkan kepercayaan kepada PBB dan negara-negara anggota untuk menyelamatkan manusia dari bencana wabak global.

"Pandemik ini menunjukkan bahawa kita perlu meningkatkan tekad untuk memperkuat kerjasama antarabangsa dan multilateralisme, dan menganggap diri kita sebagai sebuah keluarga.

"COVID-19 cabaran terbaharu yang harus kita hadapi. Sebelum ini, masyarakat antarabangsa sudah berdepan dengan pelbagai wabak lain, yang mempunyai dimensi keselamatan dan sosioekonomi yang tersendiri," katanya.

Beliau juga menyampaikan pendirian tegas Malaysia terhadap isu politik dan kemanusiaan seperti isu di Palestin serta Myanmar serta perkembangan semasa di Afghanistan, dan mahu ia ditangani dengan konsep hidup bersama dalam budaya damai menerusi genjatan senjata dan menangani cabaran berkaitan ketidaksamaan, ketidakstabilan politik dan tadbir urus dunia.

"Malaysia mengecam keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi dan bersedia menghulurkan bantuan dan melakukan apa yang termampu," tambahnya.

UNGA bermula 14 September lalu di New York mendapat penyertaan lebih 50 negara anggota yang kebanyakannya menyertai secara maya.

Sidang yang memberi tumpuan terhadap meningkatkan usaha memerangi perubahan iklim dan COVID- 19 terpaksa diadakan secara maya, dengan pemimpin dunia menghantar ucapan dalam bentuk video bagi perhimpunan tahunan itu.