BALI (Indonesia): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menggesa usaha bersama di peringkat global bagi menangani cabaran global seperti perubahan iklim menjelang Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) ke-17 akan datang, lapor Xinhua.

Guterres berkata pakatan perpaduan mengenai isu iklim amat kondusif bagi mencapai matlamat yang digariskan dalam Perjanjian Paris.

Di bawah pakatan yang dicadangkan itu, beliau berkata negara-negara maju dan institusi kewangan antarabangsa akan menyediakan bantuan kewangan dan teknikal bagi membantu ekonomi membangun mempercepatkan peralihan tenaga mereka dan anggota G20 boleh memainkan peranan penting dalam proses berkenaan.

Beliau turut menyeru ahli G20 mengguna pakai pakej rangsangan Matlamat Pembangunan Mampan PBB yang akan menyediakan Global Selatan kecairan untuk melabur dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, kesaksamaan jantina dan tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu Guterres menggesa tindakan segera dilaksanakan bagi menangani krisis makanan, mengurangkan masalah baja global dan mempercepat peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui.

"Tindakan oleh G20 akan menentukan sama ada setiap anggota keluarga kita mempunyai peluang untuk hidup secara mampan dan aman," katanya pada sidang media di sini.

Bertemakan "Recover Together, Recover Stronger" sidang kemuncak G20 yang dijadual berlangsung pada Selasa dan Rabu akan memfokuskan kepada tiga isu keutamaan iaitu kerangka kesihatan global, peralihan tenaga mampan dan transformasi digital.

-- BERNAMA