DOHA: Demam Piala Dunia 2022 kini bermula. Rata-rata peminat bola sepak dari seluruh dunia mengambil peluang untuk terbang ke Qatar untuk menyaksikan upacara perasmian yang berlangsung di Stadium Al Bayt, semalam.

Namun apa yang menjadi bualan ramai apabila jersi bola sepak dijual sempena Piala Dunia 2022 yang dikatakan tidak masuk akal.

Memetik tinjauan Mirror, jersi England bernilai £115 (RM539) dibuat oleh pekerja kilang Thailand dengan bayaran £1 (RM4.70) sejam sahaja.

Sehubungan itu, peminat bola sepak dunia meluahkan kemarahan dengan harga jualan yang dianggap tidak berpatutan dan kos telah meningkat lebih cepat daripada inflasi.

Difahamkan, jersi 'stadium' bermula pada harga di bawah £75 (RM352), manakala baju 'perlawanan' yang serupa dengan yang dipakai pemain berharga lebih £40 (RM188).

Pada tahun 2008, jersi bersaiz dewasa berharga £40 (RM188) dijual pada harga £56 (RM 263) pada hari ini.

Dalam pada itu, jersi kanak-kanak dijual pada harga £59.95 (RM281) dengan tambahan £15 (RM70) untuk meletakkan nama dan nombor pemain.

Hal ini menyebabkan segelintir ibu bapa meluahkan rasa marah di ruangan platform dalam talian.

“Saya akan mendapatkan baju sulung England Lionesses berharga £60 (RM281) untuk baju bola sepak kanak-kanak. Ini merupakan 'rompakan' secara terang-terangan,” tulis bapa kepada Mike Rutt.

Ray Ellis pula berpendapat: “Saya benar-benar tidak percaya orang ramai sanggup membayar harga yang tidak masuk akal untuk baju bola sepak England yang terkini.

“Sesiapa sahaja yang membeli lebih dari satu, terutama dalam waktu kewangan yang sukar ini, mesti mempunyai banyak wang dari apa yang kita bayangkan,” tulisnya.

Dalam pada itu, tiada kenyataan di laman web Persatuan Bola Sepak Dunia (FA) mengenai tempat baju itu dibuat tetapi label mendedahkan ia dibuat untuk Nike di Thailand.

Terdahulu pada 2018, Kit Piala Dunia England dijual pada harga £160 (RM750) dan didakwa dibuat di sebuah kilang di Bangladesh di mana pekerja dibayar serendah 21p (RM0.93) sejam.

Manakala, baju dan seluar pendek Nike yang menjadi sebahagian daripada kit pasukan England dilaporkan dihasilkan di sebuah kilang di dalam zon kawalan kerajaan di mana pekerja pakaian wanita dibayar serendah £1.68 (RM7.90) sehari.

The Daily Telegraph mendedahkan bukti kakitangan di Savar, berhampiran ibu kota Dhaka, bekerja 60 jam seminggu.

Pada 2016, FA memberi Nike lanjutan kontrak selama 12 tahun yang bernilai £400 juta (RM1.876 bilion).