PELAKON Kanada, Ryan Grantham dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah membunuh ibunya, Barbara Waite, pada 2020.

Tertuduh yang berusia 24 tahun dan memainkan watak Jeffery Augustine dalam drama remaja Riverdale, dijatuhi hukuman di Mahkamah Agung British Columbia di Vancouver pada Rabu.

Dia mengaku bersalah atas pembunuhan tahap kedua, selepas pada mulanya didakwa dengan pembunuhan tahap satu.

Pendakwa raya berkata tertuduh juga merancang untuk membunuh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.

Ryan mengaku menembak ibunya yang berusia 65 tahun di bahagian belakang kepala ketika wanita itu sedang bermain piano di rumah mereka di utara Vancouver.

Berdasarkan video yang dirakam menggunakan kamera Go-Pro miliknya, selepas pembunuhan tersebut, tertuduh merakam mayat ibunya sambil berkata: "Saya menembaknya di belakang kepala. Dalam beberapa saat selepas itu, dia (mangsa) pasti tahu itu saya (yang menembaknya)".

Selepas beberapa jam pembunuhan tersebut, mahkamah diberitahu bahawa pelakon itu memasukkan ke dalam kereta tiga pucuk senjata, peluru, 12 bom Molotov yang dibuatnya, bersama peralatan perkhemahan sebelum menuju ke kediaman Perdana Menteri Kanada.

Ryan memandu kira-kira 200 kilometer ke timur ke bandar Hope, sebelum berpatah balik menuju ke balai polis Vancouver, dan memberitahu seorang pegawai polis bahawa dia telah membunuh ibunya.

Selain itu, mahkamah turut mendengar bahawa Ryan mempertimbangkan untuk melakukan tindakan keganasan besar-besaran di Jambatan Lions Gate Vancouver atau di alma maternya, Universiti Simon Fraser dalam perjalanan sebelum berpatah balik dan menyerah diri.

Sebelum ini, Ryan telah ditahan selama dua setengah tahun dan dilaporkan menjalani program kesihatan mental sejak penahanannya.

Semasa perbicaraan, peguamnya berhujah dia telah bergelut dengan keresahan dan kemurungan klinikal serta merancang untuk membunuh diri dan mencederakan orang lain beberapa bulan sebelum membunuh ibunya.

Mahkamah juga memutuskan Ryan tidak layak mendapat pengampunan dalam tempoh 14 tahun pertama dia menjalani hukuman penjara.