PELURU berpandu yang melintasi ruang udara Poland dan meragut dua nyawa pada Selasa mungkin milik Ukraine.

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg memberitahu agensi berita BBC, siasatan terperinci di kawasan sempadan Ukraine itu masih dijalankan.

"Peluru berpandu itu kemungkinan besar milik tentera udara Ukraine," katanya.

Namun, beliau menegaskan Rusia akan dipersalahkan kerana tindakannya menceroboh Ukraine.

Ukraine pula mengulangi kenyataan peluru berpandu berkenaan dilepaskan tentera Rusia.

"Saya yakin ia bukan peluru berpandu milik tentera Ukraine.

"Berdasarkan laporan ketenteraan, saya percaya peluru berpandu itu milik Rusia," kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dalam sidang media yang disiarkan media tempatan.

Jelasnya, adalah penting Ukraine dibenarkan menyertai siasatan yang menyebabkan dua individu maut di sebuah kawasan pertanian di Przewodow, kira-kira 6 kilometer dari sempadan.

BACA: Ukraine diserang lagi, dua maut peluru berpandu Rusia melintasi Poland

Sistem pertahanan udara Ukraine diaktifkan pada Selesa ketika Rusia melancarkan apa yang dipercayai serangan paling besar sejak pertama kali menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu.

Puluhan peluru berpandu disasarkan di seluruh negara, namun Ukraine berkata ia berjaya menembak jatuh hampir kesemuanya.

Serangan besar-besaran itu berlaku ketika pemimpin dunia menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Indonesia.