Medium perniagaan lelong Amerika Syarikat (AS), eBay mengharamkan penjualan gelang tangan terpakai yang diberikan kepada orang awam bagi menyaksikan pemakaman Ratu Elizabeth II.

Ia selepas bidaan mencecah ribuan gelang disaksikan di pasaran e-dagang tersebut.

Memetik laporan antarabangsa, bidaan tersebut dilakukan dalam kalangan rakyat yang hadir dan beratur panjang bagi menyaksikan pemakaman yang berjalan dengan penuh adat istiadat.

Antara harga tersenarai tertinggi mencecah £199.99 (RM1,039.16).

Bagaimanapun ia adalah harga 'tawaran terbaik' yang dipaparkan sekali gus bermakna angka jualan yang tepat tidak disenaraikan atau mungkin lebih tinggi.

Kira-kira 10 daripada gelang berwarna-warni tersebut telah dijual di platform itu setakat petang Sabtu.

Banyak lagi lelongan dijangka akan berakhir dalam beberapa hari akan datang sebelum eBay menyahsenaraikan daripada platform tersebut kerana pelanggaran dasar sedia ada.

Bidaan terhadap gelang tersebut mendapat permintaan tinggi termasuk gelang bewarna emas yang digunakan pada Jumaat, 16 September, hari yang sama, bekas pemain bola sepak profesional, David Beckham hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II.

Walaupun gelang terpakai tersebut dibida dan dibeli, namun pembeli tidak akan boleh menggunapakai semula gelang tersebut.

Untuk rekod, gelang berwarna dan bernombor dikeluarkan oleh Jabatan Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan (DCMS) untuk membantu menguruskan sejumlah besar orang yang berminat untuk melihat sekilas Ratu berbaring.

Gelang dengan warna yang berbeza dikeluarkan setiap hari.