SAN FRANCISCO: Pemegang saham syarikat gergasi media sosial, Twitter meluluskan perjanjian dengan Elon Musk dalam pembelian platform itu pada harga AS$44 bilion.

Keputusan itu diumumkan sewaktu persidangan menerusi panggilan telefon yang ringkas dengan pelabur dari ibu pejabat Twitter di San Francisco.

Ini bermakna, Twitter akan mendesak Elon Musk untuk memuktamadkan pembelian platform itu dengan menggunakan mahkamah.

Pada April, Twitter bersetuju untuk menjual syarikat itu kepada Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc.

BACA: Elon Musk beli Twitter pada harga AS$44 bilion

Bagaimanapun, perjanjian itu tidak diteruskan kerana Twitter didakwa gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun 'spam' atau 'bot' merangkumi lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.

Musk kemudian enggan untuk meneruskan pembelian syarikat itu pada Julai, namun Twitter menegaskan bahawa Musk tidak boleh berundur daripada perjanjian itu.

BACA: Elon Musk batal pembelian Twitter AS$44 bilion

Kedua-duanya akan bertemu di Mahkamah Delaware pada Oktober dan semasa perbicaraan, hakim akan memutuskan sama ada Musk perlu membeli syarikat itu atau sebaliknya.

Untuk rekod, Twitter kini bernilai AS$32 bilion, jauh di bawah tawaran AS$44 bilion daripada Musk.