RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan pada Khamis bahawa umat Islam yang memperoleh visa pelancong dan visa komersial kini akan dibenarkan menunaikan ibadah umrah di Makkah semasa berada di negara tersebut.

Peraturan baharu itu membolehkan pemegang visa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) yang beragama Islam menunaikan ibadah tersebut sempena dengan Tahun Baru 1444 Hijrah.

Ia juga bertujuan untuk membolehkan umat Islam menunaikan umrah dengan mudah di negara berkenaan.

Sistem baharu itu juga membenarkan umat Islam yang memperoleh visa pelancong sah untuk tempoh 12 bulan mengerjakan umrah.

Pemohon visa hendaklah dari negara-negara termasuk dalam kalangan negara yang layak untuk mendapatkan visa elektronik.

Menurut Saudi Gazette, pemegang visa lawatan keluarga dari negara yang berbeza juga boleh menunaikan umrah dengan menempah janji temu melalui aplikasi Eatmarna melalui saudara mereka semasa lawatan ke Arab Saudi dengan memohon melalui National Unified Visa Platform atau Platform Visa Bersepadu Nasional.

Untuk menunaikan umrah, para pelawat beragama Islam dikehendaki antaranya mendapatkan insurans kesihatan komprehensif termasuk perlindungan kos rawatan jangkitan COVID-19; kemalangan sehingga mengakibatkan kematian atau hilang upaya dan perbelanjaan kerana kelewatan atau pembatalan penerbangan. - Sinar Harian memetik laporan agensi