PENCEMARAN udara kronik akan mengurangkan lebih daripada dua tahun, purata jangka hayat manusia di seluruh dunia.

Kajian yang diterbitkan pada Selasa itu menunjukkan, kesan pencemaran udara setanding dengan merokok dan jauh lebih teruk daripada HIV/AIDS serta keganasan.

Lebih 97 peratus daripada populasi global tinggal di kawasan pencemaran udara melebihi paras yang disyorkan.

Indeks pencemaran udara (IPU) digunakan untuk mengukur kepadatan gas pencemaran dan partikel dalam udara sehingga ke saiz 2.5 micron, atau lebih kecil daripada rambut yang dibelah tiga.

Partikel yang terawang-awang di udara terdiri daripada pelbagai saiz.

Partikel ini dikenali sebagai particulate matter (PM) mempunyai saiz antara 2.5 mikrogram (PM2.5) hingga 10 mikrogram (PM10).

IPU dilabel sebagai selamat jika di paras 0-50, sederhana 51-100, tidak sihat 101-200, sangat tidak sihat 201-300 dan berbahaya jika lebih 300.

Institut Dasar Tenaga Universiti Chicago (EPIC) berkata, dalam indeks kualiti udara terbaharunya yang menggunakan data satelit untuk mengukur tahap partikel kecil yang merosakkan paru-paru.

Kata institusi itu, jika paras PM2.5 global dapat dikurangkan kepada lima mikrogram setiap meter padu yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), purata jangka hayat akan meningkat secara purata 2.2 tahun.

Kajian itu memberi amaran, pencemaran udara telah diabaikan sebagai isu kesihatan awam dengan pembiayaan untuk menangani masalah itu masih tidak mencukupi.

Menurut kajian itu, penduduk Asia Selatan kehilangan anggaran lima tahun nyawa akibat asap dengan India menyumbang kira-kira 44 peratus daripada peningkatan pencemaran udara dunia sejak 2013.

Pengiraan EPIC adalah berdasarkan kajian terdahulu yang menunjukkan bahawa pendedahan berterusan kepada tambahan 10 mikrogram setiap meter padu PM2.5 akan mengurangkan jangka hayat hampir setahun.

Tiada satu negara pun berjaya memenuhi piawaian 5 mikrogram WHO pada 2021, menurut tinjauan data pencemaran yang diterbitkan awal tahun ini.