LELAKI yang diberikan gelaran 'pencuri paling bergaya di Britain', akhirnya berjaya ditangkap.

Dragos Patrunjel, 23 tahun, yang sebelum ini diburu polis kerana mencuri pelbagai kelengkapan pakaian dari jenama mewah, ditahan hujung Januari lalu dan dihadapkan ke mahkamah minggu lalu.

Patrunjel, yang berketurunan Itali, didakwa mencuri pakaian dan kelengkapan bernilai £1,750 (RM9,495) dari pelbagai butik jenama mewah, antaranya Hugo Boss, Tommy Hilfiger, Calvin Klein dan Armani.

Dia berjaya ditahan polis ketika sedang mencuri cermin mata hitam di pasaraya Tesco.

Carian di akaun Facebook mendapati Patrunjel gemar mengambil gambar dengan pakaian cantik berlatarbelakangkan lokasi yang menarik.

Patrunjel dihadapkan ke mahkamah dengan tujuh pertuduhan mencuri, dan mengaku salah atas semua pertuduhan itu.

Ketika hadir ke mahkamah, Patrunjel tampil kemas mengenakan kot berwarna coklat dan seluar berwarna gelap.

Peguam yang mewakili Patrunjel memaklumkan kepada mahkamah, anak muda itu bukanlah seorang pencuri, sebaliknya pengalaman dibesarkan di Itali membuatkan dia gemar bergaya dengan pakaian yang kemas.

"Dia mahu berpakaian kemas dan menarik tapi dia tiada wang. Ia satu kesilapan dan dia sudah menyesalinya," kata Ben Worthington, peguam Patrunjel.

Kesemua pakaian yang dicuri Patrunjel telah dipulangkan, dan dia diarahkan melakukan 150 jam kerja komuniti sepanjang tahun ini.