Rejim Israel dan Hamas akhirnya bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selepas lebih 8 hari kempen serangan udara berlangsung.

Penduduk yang gembira keluar meraikan berita itu di jalanraya di tengah bandar Gaza sambil melaung ucapan 'Allah Maha Besar' serta mengibarkan bendera Hamas dan melepaskan bunga api.

Bendera Mesir juga turut dikibarkan, pihak yang dilihat memainkan peranan penting dalam gencatan senjata ini.

Sejak serangan 14 November lalu yang membunuh komander kanan Hamas, penduduk Gaza hidup dalam ketakutan dengan jumlah kematian meningkat setiap hari.

"Saya amat gembira dengan perjanjian ini. Saya tidak meninggalkan rumah sejak serangan bermula, kini saya rasa bebas," kata Mai Abu Watfa, pelajar berusia 26 tahun.

'Kami seperti dipenjara, saya sangat gembira pengeboman dan perang, telah tamat," kata Nasim Hamduna, seorang bapa.

Nasim dan keluarganya meninggalkan kediaman mereka sewaktu kemuncak serangan rejim, baru hari ini dia dapat kembali melihat rumahnya.

Sementara itu sayap pejuang Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam menganggap gencatan senjata ini sebagai satu kemenangan buat mereka.

Terutama apabila peluru berpandu buatan sendiri mereka berjaya dilancarkan sehingga lebih 80 kilometer jauhnya dan mengena ke sasaran di Tel Aviv dan Baitul Maqdis.

Dalam kenyataannya, Perdana Menteri Palestin Ismail Haniya berkata "kami berpuas-hati dengan perjanjian dan bangga dengan penentangan penduduk Palestin. Terima kasih juga buat Mesir atas peranan yang dimainkan mereka."