KABUL: Penyampai wanita di saluran berita utama Afghanistan bersiaran buat kali pertama dengan wajah yang separuh ditutup pada Ahad, sehari selepas nekad membuat kemunculan seperti biasa dan tidak mempedulikan arahan Taliban.

Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara tahun lalu, Taliban menguatkuasakan beberapa undang-undang terhadap rakyatnya, yang kebanyakannya menekankan fahaman mereka tersendiri tentang Islam.

Banyak kelaziman yang biasa dilakukan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan juga dilhat tidak lagi boleh diteruskan.

Awal bulan ini, pemimpin tertinggi Afghanistan, Hibatullah Akhundzada mengeluarkan perintah supaya wanita menutup tubuh dan wajah sepenuhnya di tempat awam, dengan memakai burqa tradisi.

Kementerian Pencegahan Maksiat turut mengarahkan supaya pengacara televisyen wanita menurutinya bermula Sabtu.

Namun, pada hari tersebut, para personaliti televisyen wanita telah cuba melanggar arahan itu dengan muncul seperti biasa – berhijab namun membiarkan keseluruhan wajah kelihatan.

Begitupun, pada Ahad, arahan itu dipatuhi – dengan mereka muncul dengan pakaian bertutup penuh kecuali mata. Penonton dapat menyaksikan perubahan itu sewaktu laporan berita saluran utama antaranya TOLOnews, Ariana Television, Shamshad TV dan 1TV.


"Kami membantah dan kami sebenarnya tidak mahu menutup wajah.

“Namun syarikat kami menerima tekanan dan diberitahu bahawa penyampai wanita yang bersiaran tanpa mengikut arahan akan diambil tindakan ditukarkan kerja ataupun dipecat.

“TOLOnews terpaksa menurut, dan kami terpaksa memakainya,” ujar Sonia Niazi, personaliti televisyen TOLOnews, kepada AFP.


Semua penyampai wanita sebelum ini dikehendaki hanya berhijab, namun kini mereka wajib menutup separuh wajah lagi.

Pengarah TOLOnews Khpolwak Sapai berkata, syarikat penyiaran itu dikerah supaya memastikan setiap pekerjanya menurut perintah.

“Kami diberitahu, kami dipaksa melakukannya, perlu menurutinya, dan tiada cara lain,” jelas Sapai.

Jurucakap kementerian Mohammad Akif Sadeq Mohajir berkata, pihak berkuasa menghargai saluran media yang mematuhi kod berpakaian.

“Kami gembira saluran media menjalankan tanggungjawab ini dengan baik,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Taliban tidak menentang hakikat wanita yang bekerja di syarikat penyiaran, namun mereka perlu menuruti kod peraturan baharu.