LONDON: Pengambilan vaksin COVID-19 dan selesema secara serentak didapati selamat.

Malah kajian di Britain itu juga mendapati ia tidak memberi kesan negatif terhadap tindak balas imun yang dihasilkan oleh kedua-dua vaksin.

Kajian yang diketuai University of Bristol itu mendapati kesan sampingan yang dilaporkan biasanya ringan hingga sederhana dalam ujian dengan tiga vaksin selesema dan vaksin COVID-19 Pfizer atau AstraZeneca.

Ketua kajian, Rajeka Lazarus berkata ini adalah langkah positif melihat kepada pengurangan janji temu untuk mengambil kedua-dua vaksin.

Kajian itu telah disampaikan kepada Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) untuk pertimbangan dalam membuat dasar bagi merancang program vaksinasi masa depan.

Ia melibatkan 679 sukarelawan di 12 lokasi di seluruh England dan Wales serta dikeluarkan sebagai pracetak, dengan hasil penuh akan diterbitkan di Lancet.

Pada kajian itu, dos suntikan untuk kedua-dua vaksin selesema dan COVID-19 diberikan pada hari yang sama di kedua-dua belah tangan.

Satu kumpulan melakukan suntikan COVID-19 dan selesema pada lawatan pertama dengan suntikan plasebo diberikan pada lawatan kedua.

Manakala satu lagi kumpulan diberikan suntikan vaksin COVID-19 dan suntikan plasebo untuk hari yang sama, disusuli suntikan vaksin selesema pada hari kedua.

Kajian turut mendapati 97 peratus peserta mengatakan bahawa mereka bersedia mendapatkan dua vaksin pada janji temu yang sama pada masa akan datang.

Britain dan negara di hemisfera utara kini bersiap sedia menghadapi musim sejuk berikutan kemungkinan berlakunya lonjakan kes selesema susulan pelonggaran sekatan dan langkah penjarakan fizikal.

Suntikan dos penggalak COVID-19 kini diberikan kepada warga emas, golongan berisiko dan pekerja kesihatan di Britain.

Dalam masa yang sama, kerajaan Boris Johnson menjanjikan program vaksinasi selesema terbesar dalam sejarah akan dilaksanakan tahun ini.