BARAN:Susulan pengantin perempuan disahkan positif COVID-19, pasangan di sebuah perkampungan utara India meneruskan majlis perkahwinan mereka dengan berpakaian sut hazmat dan pelitup muka.

Menurut pegawai kesihatan, Rajendra Meena, pengantin perempuan yang tidak dinamakan itu disahkan positif virus tersebut beberapa jam sebelum majlis, namun bertegas untuk meneruskan perkahwinan yang sudah dirancang. 

Berikutan itu, mereka melangsungkan majlis perkahwinan di halaman pusat kuarantin, di sini, hujung minggu lalu.

Di bawah kanopi berwarna merah yang menghadap bara api, pasangan pengantin itu yang sedondon mengenakan sut hazmat berwarna biru lengkap dengan pelitup dan pelindung muka, melafazkan ikrar perkahwinan.

Sementara itu, paderi yang mengendalikan majlis turut dilengkapi sut hazmat berwarna putih bersama hud seakan-akan angkasawan sambil lagu perkahwinan tradisional dimainkan.

Sementara itu, menurut Meena, pengantin perempuan telah dimasukkan ke pusat berkenaan untuk tujuan rawatan dan pemantauan susulan dia disahkan positif COVID-19.

“Kami telah dimaklumkan oleh ahli keluarga pasangan pengantin bahawa mereka telah bersetutju untuk melangsungkan perkahwinan di pusat kuarantin tanpa tatacara majlis perkahwinan yang biasa," katanya.

Majlis perkahwinan di India adalah satu acara yang amat meriah yang turut disertai tetamu dan saudara mara.

Namun, beberapa negeri di India terpaksa melaksanakan perintah sekatan mengurangkan kapasiti tetamu bagi majlis perkahwinan dalam usaha mengawal penularan COVID-19.

Setakat ini, India melaporkan sejumlah 9.6 juta kes positif COVID-19 di negara itu, menjadikannya negara dengan jumlah kes tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).