HANOI: Seorang pemilik akaun Facebook di Hanoi dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada Khamis lepas kerana menyiarkan maklumat palsu yang menjejaskan perniagaan dan pasaran saham.

Dang Nhu Quynh, 42, didapati bersalah "menyalahgunakan hak kebebasan dan demokrasi untuk mencabul kepentingan Negara, hak dan kepentingan sah organisasi dan individu" di bawah Perkara 331 Kanun Keseksaan, oleh Mahkamah Rakyat daerah Nam Tu Liem, menurut agensi berita Vietnam, VNA.

Menurut dakwaan, sejak 2019, Quynh menggunakan akaun Facebook peribadinya untuk menyiarkan tulisannya sendiri atau berkongsi maklumat yang tidak disahkan. Sehingga April 2022, akaun itu mempunyai lebih 300,000 pengikut.

Pada 2 April, selepas mengetahui bahawa beberapa pemimpin perniagaan dalam sektor kewangan dan hartanah ditahan, Quynh menyiarkan bahawa Do Anh Dung, pengerusi pemaju hartanah Tan Hoang Minh telah dikenakan tindakan undang-undang.

Selepas pihak berkuasa membuat pengumuman rasmi mengenai isu itu pada 5 April, Quynh menyunting siarannya untuk menyakinkan pembaca bahawa dia sudah mengetahui maklumat itu, lapor VNA.

Dia juga menyiarkan maklumat bahawa Nguyen Van Tuan - Pengerusi Lembaga Pengarah merangkap Ketua Pengarah Gelex Group JSC, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Viglacera Corporation, turut disiasat.

Pada 6 April, Quynh membuat dua catatan mengenai pengerusi itu, bersama gambarnya, mendakwa tokoh perniagaan itu akan ditahan.

VNA melaporkan apabila siaran itu tular, saham syarikat itu dijual dalam jumlah besar enam hari slepas itu, menyebabkan nilainya menjunam serta mencetuskan panik dalam kalangan pelabur.

-- BERNAMA