SEOUL: Penipuan memancing data (phishing) di Korea Selatan menyebabkan kerugian lebih 1.76 trilion won (AS$1.24 bilion) sejak lima tahun lalu dengan kurang daripada 30 peratus wang yang dicuri diperoleh semula, menurut data kerajaan pada Khamis.

Memancing data ialah proses melibatkan mangsa diperdaya untuk berkongsi kata laluan peribadi atau kod keselamatan mereka melalui panggilan telefon, mesej atau e-mel, membolehkan penipu mengakses akaun bank mereka.

Dalam kes penipuan pemindahan wang, mangsa diperdaya oleh penipu (scammer) yang kebanyakannya menyamar sebagai penyiasat untuk memindahkan wang daripada akaun bank mereka, membentuk sebahagian besar jenayah memancing data, lapor Yonhap.

Kira-kira 248,000 kes penipuan pemindahan wang dilaporkan antara 2017 dan 2021, menurut data Kementerian Kehakiman dan Perkhidmatan Penyeliaan Kewangan.

Bagaimanapun, data itu menunjukkan hanya 526.8 bilion won nilai kerosakan dikembalikan kepada mangsa, mengikut undang-undang khas yang membolehkan mangsa membatalkan kiriman wang dengan lebih mudah sebelum wang itu dikeluarkan oleh penipu.

"Mencegah memancing data suara dan menghukum penjenayah adalah penting, namun isu memulihkan kerosakan lebih penting," kata Lee sambil menggesa kerajaan mengusahakan langkah undang-undang yang lain bagi melindungi mangsa.

-- BERNAMA