Penyelidik universiti AS dakwa berjaya hasilkan vaksin COVID-19

Aza Jemima Ahmad
April 3, 2020 05:21 MYT
Penemuan vaksin itu bakal mendapat kelulusan segera. Gambar menunjukkan virus SARS-CoV-2 di bawah mikroskop elektron. -Foto Flickr
DUNIA masih mencari penawar pandemik COVID-19.
Kajian demi kajian telah dijalankan, namun belum ada jalan penyelesaian yang pasti dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.
Namun, masih ada sinar harapan penawar yang dicari bakal ditemukan.
Di Amerika Syarikat (AS), sekumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan, University of Pittsburgh, Pennsylvania mendakwa mereka berkemungkinan sudah menemui vaksin COVID-19 selepas kajian yang dijalankan pada tikus makmal didapati membuahkan hasil.
Profesor Madya, Andrea Gambotto yang juga penulis kanan kajian itu berkata vaksin yang dihasilkan daripada protein ‘spike’ itu mengeluarkan sejenis antibodi pada kuantiti yang mencukupi untuk meneutralkan virus.
"Virus-virus ini berkait rapat dengan SARS-CoV-2, dan membuktikan bahawa protein tertentu (spike), mampu menghasilkan imuniti kepada virus," katanya.
Bagi meningkatkan keberkesanan vaksin tersebut, beliau berkata protein itu sepatutnya hadir dalam bentuk kepingan yang terdiri daripada 400 jarum mikro yang terus larut ke dalam kulit.
Jelasnya, prototaip vaksin yang diberi nama PittCoVacc itu kini sedang diuji pada tikus makmal dan dapatan menunjukkan ia mampu menghasilkan antibodi bagi melawan COVID-19 kira-kira dua minggu kemudian.
Difahamkan, kajian bagi vaksin itu telah diljalankan sejak 21 Januari lalu.
Sementara itu, pakar negara itu, bagaimanapun berkata keberkesanan sesuatu vaksin untuk melawan COVID-19 akan mengambil masa selama 12 hingga 18 bulan.
Namun, pusat perubatan universiti itu berkata tempoh itu juga bergantung kepada kelulusan dan maklum balas daripada pihak kerajaan persekutuan.
Jelasnya lagi, penemuan vaksin itu bakal mendapat kelulusan segera.
Kini, terdapat sejumlah 1,015,964 kes yang telah dilaporkan di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, terdapat lebih 245,000 kes positif COVID-19 yang dilaporkan setakat ini.

Today, University of Pittsburgh School of Medicine @PittHealthSci scientists announced a potential vaccine against SARS-CoV-2, the new coronavirus causing the #COVID19 pandemic. https://t.co/ILW4IQfou7 pic.twitter.com/Y7l0SifBtn

— UPMC (@UPMCnews) April 2, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
,
BACA: Kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia cecah 1 juta
#Amerika Syarikat #AS #COVID-19 #kerajaan #perubatan #Pittsburgh #vaksin #virus