NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pengunduran tentera Rusia dari Ukraine, dengan 141 daripada 193 undian memihak kepada resolusi berkenaan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Undian resolusi PBB itu dilihat sebagai ujian global terhadap sentimen perang yang dilancarkan Rusia terhadap jirannya ketika konflik itu memasuki tahun kedua.

Beberapa negara lain mengambil pendekatan berkecuali, manakala enam negara iaitu Belarus, Korea Utara, Eritrea, Mali, Nicaragua dan Syria mengundi menentang resolusi itu, selain Rusia.

Resolusi itu mengandungi tuntutan keamanan dan pengunduran Moscow.

Keputusan itu menangkis tuduhan bahawa sokongan terhadap Kyiv semakin berkurangan terutama membabitkan negara-negara yang bergantung kepada bahan api Rusia.

-- BERNAMA