WALLDORF: Pemilik kucing di sebuah bandar di Jerman dibenarkan untuk membiarkan haiwan peliharaan mereka itu keluar dari kawasan kediaman buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, apabila pihak berkuasa membatalkan perintah berkurung khas.

Penduduk di Walldorf, Jerman sebelum ini diarahkan supaya 'mengurung' kucing peliharaan mereka di rumah bagi melindungi satu spesies burung yang terancam, iaitu burung crested lark (Galerida cristata).

Kucing hanya dibenarkan keluar jika diikat dengan tali (leash) tidak melebihi dua meter.

Jika kucing melarikan diri semasa perintah berkurung berkuat kuasa, pemilik dikehendaki menghubungi talian khas. Jika ditemui, pemilik kucing akan dikenakan denda.

Individu yang kucingnya didapati mencederakan atau membunuh burung yang dilindungi itu boleh dikenakan denda sehingga £42,000 (RM226,000).

Tetapi bermula Isnin, haiwan itu kembali mendapat 'kebebasan'.

Pihak berkuasa sedaya upaya melindungi burung tersebut yang menjadi sebahagian identiti bandar berkenaan, namun jumlahnya di seluruh Jerman semakin berkurangan.

Aktivis haiwan mengkritik sekatan itu, dengan alasan ia akan menjejaskan kesihatan kucing, namun ada juga yang menyokong usaha untuk melindungi burung lark.

Pelbagai spesies burung mati secara semula jadi setiap tahun, tetapi tidak ada bukti bahawa serangan kucing merupakan faktor utama, menurut Persatuan Diraja Britain untuk Perlindungan Burung (RSPB).

Perintah berkurung khas itu dijangka kembali pada tahun-tahun berikutnya, semasa musim pembiakan burung.