MANILA: Bintang tinju Manny Pacquiao pada Ahad mengumumkan bahawa dirinya akan bertanding sebagai calon Presiden dalam pilihan raya pada tahun depan, selepas sebelum ini sering menyuarakan isu rasuah dalam kerajaan selain tentang hubungan Presiden Rodrigo Duterte yang 'rapat' dengan China.

Reuters melaporkan, Senator Pacquiao menerima pencalonan daripada sekutu politiknya semasa persidangan Dewan Negara di bawah parti PDP-Laban.

Penerimaan itu dibuat beberapa hari selepas blok politik pesaing menamakan pegawai rapat Duterte, Senator Christopher Go, sebagai calon Presiden.

Parti itu juga mencalonkan Duterte sebagai Naib Presiden – satu tindakan yang disifatkan pengkritik sebagai satu permainan Duterte untuk kekal berkuasa.

Go pada awalnya menolak pencalonan itu, namun pergeseran antara kumpulan penyokong Pacquiao dan Duterte semakin memuncak.

"Saya seorang pejuang... dan saya akan tetap menjadi pejuang di dalam dan di luar gelanggang.

"Saya menerima pencalonan sebagai calon Presiden Republik Filipina,” ujar Pacquiao, 42, dalam ucapan yang disiarkan secara penstriman langsung.

Kumpulan yang diwakili Pacquiao tidak menunjukkan sokongan terhadap hasrat Duterte bertanding sebagai Naib Presiden negara itu. Duterte pula tidak boleh bertanding lagi sebagai Presiden untuk enam penggal kedua, berdasarkan ketetapan Perlembagaan.

Sebagai salah seorang petinju terhebat dunia dan satu-satunya petinju yang memegang lapan gelaran dunia dalam divisyen berbeza, Pacquiao belum mengulas apa-apa tentang status 26 tahun karier profesionalnya.

Meskipun dengan popularitinya, Pacquiao masih belum dapat memenangi tinjauan pendapat umum yang selalunya didahului oleh anak perempuan Duterte, Sara Duterte-Carpio.

Pada Julai, Pacquiao diundi keluar sebagai pemimpin PDP-Laban, selepas beberapa minggu mencabar Duterte untuk menjawab isu hubungan rapat dengan China dan rekod membanteras rasuah. Bagaimanapun, undi pelucutan itu ditolak kumpulan politiknya.

Pacquiao, yang dahulunya sekutu rapat Duterte, pernah mempertikai tentang ketirisan lebih daripada 10 bilion Peso (RM834.3 juta) dalam bentuk bantuan pandemik yang sepatutnya disasarkan kepada golongan miskin. Semua siasatan itu dilakukan pasukan penyiasat anti-rasuahnya.

Antara isu yang disiasat termasuk tentang bekalan dan peralatan perubatan yang dibeli kerajaan di bawah program tindakan pandemik negara itu.

Duterte pernah mencabar Pacquiao untuk menamakan pejabat kerajaan yang menerima suapan bagi membuktikan petinju itu tidak hanya bermain politik.

Pacquiao kemudian membalas dengan memberi amaran hukuman penjara kepada pegawai-pegawai kerajaan yang rasuah.

"Masa anda sudah tamat!" kata Pacquiao.