KUNMING: Setakat 31 Januari perkhidmatan kereta api China-Laos telah mengendalikan 20,000 unit kereta api dengan menghantar 10.3 juta penumpang sejak perkhidmatan itu mula beroperasi pada Disember 2021, menurut kenyataan China Railway Kunming Group Co., Ltd. di sini, pada Rabu.

Kereta api itu telah menyediakan perkhidmatan kepada 8.7 juta penumpang untuk seksyen China dengan jumlah penumpang harian mencecah 65,000 orang.

Pada masa sama, ia turut menghantar 1.6 juta penumpang di seksyen Laos dengan jumlah penumpang harian mencecah 8,800 orang.

Kini, jumlah stesen di seksyen Laos yang boleh mengendalikan pengangkutan penumpang dicatatkan sebanyak 10 buah berbanding tujuh semasa di peringkat awal operasi.

Naib ketua Stesen Kereta Api Kunming, Zheng Bin berkata, jumlah penumpang terus meningkat dan kualiti perkhidmatan bertambah baik.

"Pengangkutan kereta api memainkan peranan positif dalam menyediakan perkhidmatan perjalanan yang mudah dan cekap untuk rakyat kedua-dua negara," katanya.

Dimaklumkan bahawa jabatan yang berkaitan di kedua-dua negara sedang mengadakan perbincangan dan membentuk rancangan untuk menyediakan perkhidmatan kereta api penumpang rentas sempadan China-Laos pada tahun ini untuk meningkatkan pengangkutan penumpang dan kargo.

Untuk rekod, perkhidmatan kereta api Unit Gandaan Elektrik (EMU) Renaissance dan Lane Xang yang juga disebut Lancang terbukti selamat, hijau, pesat dan selesa yang dapat memendekkan masa perjalanan penumpang di bandar sepanjang landasan itu dan menjadi pilihan pertama rakyat China-Laos. - BERNAMA