KUALA LUMPUR: Mahkamah Khas Mumbai hari ini menolak permohonan ikat jamin ke atas anak aktor Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan, yang ketika ini ditahan di Penjara Arthur Road atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Dengan penolakan ikat jamin ini, Aryan Khan, 23, mungkin akan meraikan sambutan cuti umum Hari Deepavali di dalam tahanan.

Ini kerana mahkamah akan beristirehat panjang pada awal November bagi memberi laluan kepada sambutan perayaan tersebut.

Menurut laporan portal NDTV, peguam yang mewakili Aryan, Satish Maneshinde dan Amie Desai akan membawa permohonan ikat jamin tersebut ke Mahkamah Tinggi Mumbai.

Malah kedua-dua mereka dilaporkan akan terus mengemukakan hujah bahawa tiada penemuan sebarang jenis dadah pada anak guam mereka (Aryan) sewaktu serbuan diadakan di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai.

Bagaimanapun, agensi anti dadah negara itu menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti kukuh bahawa Aryan berkemungkinan terlibat dengan sindiket kartel dadah antarabangsa.

Ini berdasarkan rekod perbualan menerusi aplikasi Whatsapp milik Aryan dengan anggota-anggota kartel tersebut.

BACA: Shah Rukh Khan rasa 'kecewa', tidak makan atau tidur sejak anaknya ditahan

BACA: Permohonan jaminan anak Shah Rukh Khan ditolak, Aryan dihantar ke Penjara Arthur


Pada 19 Oktober lalu, Peguamcara Negara, Anil Singh yang mewakili Biro Kawalan Narkotik India (NCB) menggesa agar kes tersebut disiasat secara lebih teliti kerana ia melibatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

Malah dakwa Anil, prinsip tidak bersalah sehingga diakukan bersalah tidak terpakai di bawah Akta Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS).

Hal ini berikutan Aryan didakwa sudah lama menggunakan dadah kerana bukti yang dikemukakan menunjukkan bahawa dia merupakan pengguna bahan terlarang itu sejak beberapa tahun lalu.

Namun, di platform media sosial ramai yang beranggapan penolakan ikat jamin ini bersifat tidak adil selepas mengambil contoh kes-kes seumpamanya sebelum ini yang diberikan ikat jamin. Ada pula yang beranggapan kuantiti yang didakwa ditemui bersama Aryan sewaktu ditahan adalah kecil. 

BACA: Keselamatan anak Shah Rukh Khan di penjara dipertingkat

BACA: Shah Rukh Khan lantik peguam baharu kendali kes anak


Terdahulu, Aryan ditahan bersama tujuh yang lain termasuk dua wanita oleh NCB di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada 3 Oktober.

Menurut laporan The Times of India, NCB turut merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh rupee.

Ketika serbuan, Aryan dilaporkan bersama dua rakannya iaitu pelakon, Arbaz Seth Merchant dan pereka fesyen, Munmun Dhamcecha.

BACA: Jangan ada hidangan 'manisan' di rumah sehingga Aryan pulang, arah isteri Shah Rukh Khan

Lima lagi individu yang ditahan terdiri daripada Nupur Satija, Ishmeet Chadha, Mohak Jaiswal, Gomit Chopra dan Vikrant Chhokar.