LONDON: Anak sulung Ratu Elizabeth II, Charles, telah diisytiharkan sebagai raja baharu Britain dalam satu upacara pertabalan di Istana St James, hari ini, susulan kemangkatan bondanya, Khamis lalu.

Raja baharu itu kini memegang gelaran Raja Charles III.

Baginda juga meluluskan hari pengebumian Ratu Elizabeth II sebagai hari cuti, walaupun belum diputuskan bila ia akan berlangsung.

Ia adalah kali pertama upacara bersejarah itu disiarkan di televisyen.

Charles, 73, memaklumkan bahawa baginda amat menyedari mengenai tanggungjawab besar dan peranan yang harus dipikul.

Ratusan anggota Majlis Pemilihan termasuk Perdana Menteri Britain, Liz Truss, isteri Charles, Camilla dan anak sulung serta pewaris takhta, William hadir pada upacara rasmi itu.

BACA: Raja Charles III perbaharui pengabdian Ratu Elizabeth II, ikrar berkhidmat seumur hidup

BACA: Raja baharu Britain bakal dikenali sebagai Raja Charles III

Dalam ucapannya, Charles berikrar untuk mencontohi bondanya yang ‘berkhidmat sepanjang hayat’.

Majlis itu dihadiri 200 ahli Majlis Privy, termasuk bekas Perdana Menteri Boris Johnson, Theresa May, David Cameron, Gordon Brown, Tony Blair dan John Major.

Tepukan dan sorakan "God Save the King" bergema di luar Istana St James, diikuti nyanyian lagu kebangsaan.

Terdahulu, Raja Charles III membenarkan kamera televisyen masuk dan membuat liputan upacara buat kali pertama, bagi membolehkan ia ditonton rakyat jelata.

Satu istiadat pertabalan secara besar-besaran akan diadakan sedikit masa nanti.