Kerajaan Ukraine bersetuju menggugurkan semua pertuduhan ke atas penunjuk perasaan anti-kerajaan.

Keputusan itu dicapai selepas berlangsung pertemuan wakil kerajaan dan kem pembangkang negara itu.

Walaupun keputusan itu dicapai secara bersama, ketegangan melibatkan kedua-dua pihak masih belum reda.

Ini kerana, pembangkang melihat ia sebagai satu kejayaan kepada gerakan anti-kerajaan.

"Kami rasa ini adalah proses yang penting kerana kami telah membuktikan bahawa kami tidak akan meninggalkan aktivis kami dan mereka yang menentang kerajaan akan dilindungi," kata pemimpin parti Svoboda Oleh Tyahnybok.

Kenyataan oleh Tyahnybok itu dilihat sebagai usaha membakar semangat penunjuk perasaan meningkatkan tekanan ke atas kerajaan pimpinan presiden Viktor Yanukovych.

Pembangkang sebelum ini mendesak kerajaan membebaskan 234 penunjuk perasaan yang ditahan manakala, kerajaan Ukraine mahu penunjuk perasaan mengosongkan pejabat kerajaan yang ditawan mereka pada 1 Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, sekumpulan penunjuk perasaan menghalang laluan masuk ke pejabat bandaraya Kiev sejurus ia dikosongkan penunjuk perasaan anti-kerajaan.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak cuba menawan semula bangunan itu sebaliknya hanya bertindak menghalang laluan masuk.

Mereka berikrar akan terus meningkatkan tekanan sehingga tuntutan mereka dipenuhi kerajaan.

Sementara itu, kerja membersihkan jalan-jalan utama di Kiev masih diteruskan sebaik sahaja kerajaan dan pembangkang mencapai persetujuan berhubung pembebasan tahanan politik.

Jentera digunakan bagi mengalihkan halangan yang digunakan penunjuk perasaan dalam protes mereka.