ATHENS: Sebuah pesawat kargo yang membawa lapan penumpang terhempas berdekatan Kavala di utara Greece pada Sabtu.

Menurut Jabatan Bomba negara itu, pesawat Antonov An-12 yang dimiliki syarikat Ukraine, dalam perjalanan dari Serbia ke Jordan ketika kejadian.

Juruterbang pesawat berkenaan dilaporkan telah meminta untuk lakukan pendaratan kecemasan akibat masalah pada salah satu enjin namun terputus hubungan susulan itu.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Jabatan Bomba memaklumkan seramai 15 anggota dikerah ke tempat kejadian bagi usaha menyelamat dan memadamkan api.

Setakat ini lapan mayat disahkan telah ditemui.

Ketika ini tidak dapat dipastikan apa yang dibawa pesawat berkenaan namun siasatan sedang dijalankan.

Media tempatan melaporkan orang ramai menyaksikan bola api di udara sebelum mendengar beberapa siri letupan.