SEBUAH pesawat pejuang F-35 United Kingdom (UK) terhempas ke dalam laut semasa operasi rutin di Laut Mediterranean, kata Kementerian Pertahanan negara itu.

BBC melaporkan, juruterbang pesawat berkenaan bagaimanapun terselamat selepas sempat menggunakan kerusi lenting dalam kejadian jam 10 pagi Rabu (waktu tempatan).

Dia kemudian dibawa kembali ke kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Diraja HMS Queen Elizabeth dan siasatan telah dimulakan, tambah kementerian berkenaan.

Kejadian itu juga tidak melibatkan pesawat lain.

Siasatan kini tertumpu kepada potensi kesilapan teknikal atau manusia, kata wartawan pertahanan BBC Jonathan Beale.