SEBUAH pesawat Twin Otter dari Tara Air yang sedang membawa 22 penumpang termasuk kru hilang dari radar pada pagi Ahad selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu, Nepal.

Menurut agensi antarabangsa, pesawat terbabit berlepas dari bandar Pokhara ke bandar Jomsom kira-kira jam 9.55 pagi waktu tempatan sebelum gagal dihubungi Pusat Kawalan Trafik.

"Pesawat domestik untuk ke Jomsom dari Pokhara gagal dihubungi," jelas jurucakap Tara Air.

Ujarnya, pesawat berkenaan membawa 19 penumpang dan tiga kru dan dijadualkan tiba di bandar Jomsom 15 minit daripada Pokhara.

Susulan kehilangan pesawat berkenaan, pihak berkuasa Nepal menjalankan operasi mencari dan menyelamat menggunakan dua buah helikopter.

Bagaimanapun, tiada penemuan ketika ini susulan cuaca buruk dan jarak penglihatan yang terhad di sekitar lokasi terakhir pesawat berkenaan dikesan sebelum hilang.

Difahamkan, usaha mencari pesawat terbabit akan diteruskan pihak berkuasa. 

Pada tahun 2018 lalu, sebuah pesawat US-Bangla terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa berhampiran Kathmandu.

Kemalangan tersebut mengorbankan kira-kira 51 penumpang dan anak kapal.