Nahas pesawat tentera Filipina: 29 maut, 40 terselamat

Agensi
Julai 4, 2021 05:55 MYT
Kejadian berlaku selepas pesawat C-130 cuba mendarat di Pulau Jolo yang terletak di wilayah Sulu. - Foto Reuters
MANILA: Sekurang-kurangnya 29 maut selepas pesawat tentera Filipina yang membawa 85 penumpang dilaporkan terhempas di selatan negara itu pada Ahad.
Ia antara tragedi pesawat tentera yang terburuk di negara itu sejak 30 tahun lalu.
Lapor Reuters, Menteri Pertahanannya, Delfin Lorenzana dalam satu kenyataan memaklumkan, 40 lagi mangsa telah berjaya diselamatkan dan sedang menerima rawatan.
Difahamkan, kejadian berlaku pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan melibatkan pesawat C-130.
Terdahulu Ketua Angkatan Tentera Filipina, Cirilito Sobejana melaporkan sekurang-kurangnya 40 orang telah berjaya diselamatkan.
Jelas beliau, kejadian berlaku selepas pesawat yang membawa tentera dari selatan bandar Cagayan de Oro melakukan pendaratan di Pulau Jolo yang terletak wilayah Sulu.
Nahas | 17 maut pesawat tentera Filipina terhempas
Bagaimanapun, pesawat malang itu terbabas dari landasan dan gagal mengawal keadaan sebelum terhempas di sebuah perkampungan di kota Patikul di wilayah Sulu.
"Pasukan penyelamat berada di lokasi kejadian sekarang. Kami berdoa agar dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa," kata Sobejana.
Difahamkan, sebilangan besar anak kapal baru-baru ini telah lulus latihan asas ketenteraan dan sedang dikerahkan ke pulau yang bergolak sebagai sebahagian daripada pasukan petugas bersama memerangi keganasan di wilayah majoriti Muslim.
Setakat ini, jumlah sebenar anak kapal di dalam pesawat tersebut masih belum dapat disahkan.
Pesawat C-130 kerap digunakan untuk mengangkut pasukan tentera dan bekalan. Ia juga sering dikerahkan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bencana.
#Filipina #pesawat #terhempas #pesawat terhempas #pasukan penyelamat #Sulu #Jolo