IRKUTSK: Tujuh individu maut selepas pesawat dinaiki mereka terhempas ketiba cuba mendarat di timur Rusia pada Rabu.

Pesawat kargo Belarus Grodno buatan Soviet itu terhempas dan terbakar berhampiran Irkutsk, timur Siberia.

Jawatankuasa penyiasatan Belarus, agensi penyiasat negeri tertinggi berkata, pesawat itu terhempas selepas gagal mendarat dalam percubaan pertama.

Pegawai Belarus berkata, kru terdiri daripada tiga warga Belarus, dua warga Rusia dan dua warga Ukraine.

Pesawat itu terbang dari Bilibino di wilayah Chukotka di timur laut Rusia dan membuat persinggahan di Yakutsk sebelum meneruskan perjalanan ke Irkutsk.

An-12 ialah pesawat kargo turboprop empat enjin yang direka pada tahun 1950an.

Ratusan pesawat itu telah dibina dan masih banyak digunakan dalam perkhidmatan di Rusia serta di beberapa negara lain di seluruh dunia.