BANGKOK: Phuket, daerah Bangna di Bangkok dan Laem Chabang di Chonburi di Thailand dijangka dilanda cuaca paling panas dengan indeks haba diramalkan melebihi 54 darjah Celsius.

Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran suhu tinggi dan amaran mengenai pendedahan berpanjangan kepada haba boleh menyebabkan strok haba atau strok matahari.

"Selain itu, indeks haba di Phetchabun dijangka mencecah 48.1 darjah Celsius dan daerah Kosum Phisai di Maha Sarakham pula diramal mencecah 44.5 darjah Celsius iaitu tahap berbahaya.

"Pendedahan berpanjangan boleh menyebabkan strok matahari, kekejangan dan keletihan haba," menurut jabatan itu.

Cuaca panas terik di Thailand dijangka berterusan sehingga Rabu depan kerana suhu boleh mencecah 44 darjah Celsius di wilayah utara.

Suhu di wilayah timur laut, tengah dan timur dijangka mencecah 42 darjah Celsius manakala suhu di selatan ialah 39 darjah Celsius.

"Kawasan di utara, timur laut, tengah dan timur Thailand akan mengalami cuaca 'sangat panas' dan berjerebu pada siang hari serta ribut petir dengan tiupan angin," menurut jabatan itu.

Ribut musim panas termasuk ribut petir, tiupan angin dan hujan batu diramal bermula di wilayah timur sebelum ia merebak ke kawasan lain.

Tiupan angin diramal merentasi Laut Andaman, bahagian Selatan dan di kawasan Teluk yang akan membawa lebih banyak hujan ke bahagian selatan Thailand.

-- BERNAMA