PARIS: Seorang pemandu kereta melanggar seorang remaja lelaki sehingga menyebabkan kematian ketika orang ramai sedang meraikan kemenangan pasukan Perancis yang berjaya menundukkan pasukan Maghribi di Piala Dunia 2022.

Memetik laporan CNA, pihak berkuasa tempatan memaklumkan suspek melarikan diri selepas kejadian yang berlaku di bandar Montpellier, selatan Perancis.

Menurut pejabat pendakwa raya Montpellier, pihak berkuasa sedang mengesan suspek dan kertas siasatan mengenai keadaan sebenar kejadian itu telah dibuka.

Dalam pada itu, video memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya berhampiran orang ramai di jalanan berikutan kemenangan pasukan kebangsaan Perancis ke atas Maghribi turut tular di Twitter.

Difahamkan, remaja berusia 14 tahun yang namanya tidak didedahkan dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia akibat kecederaan.

Ahli politik Perancis, Nathalie Oziol turut menzahirkan kesedihan melihat acara sukan yang berakhir dengan tragedi tragis itu. 

Sementara itu, jurucakap polis, Ilse van de Keere memaklumkan di ibu kota Belgium yang memiliki komuniti terbesar warga Maghribi menyaksikan kira -kira 100 individu ditahan selepas peminat bola sepak menembak bunga api ke arah polis dan merosakkan kereta di Brussels.