PENYANYI ternama Hollywood, Pink memaklumkan dia kini telah pulih selepas disahkan positif COVID-19 sejak dua minggu lalu.

Menerusi akaun rasmi Instagramnya, Pink berkata, sebelum ini dia bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun, Jameson telah menunjukkan tanda-tanda jangkitan COVID-19.

“Bagaimanapun, kami telah pulih dan untungnya doktor yang merawat kami mempunyai akses kepada ujian yang dijalankan kami.


“Keluarga saya juga telah dikuarantin di rumah dan kami akan terus untuk duduk di rumah dalam tempoh dua minggu seperti yang disarankan doktor. Tetapi dalam beberapa hari lalu kami telah membuat ujian saringan kedua dan hasilnya adalah negatif,” katanya.

Pink yang popular dengan lagu Just Give Me A Reason turut menyumbangkan kira-kira AS$500,000 (RM2.18 juta) kepada Tabung Krisis COVID-19 Los Angeles.

Kata Pink, dia juga akan terus komited untuk memberi sokongan kepada pasukan kesihatan yang berusaha menangani jangkitan ini.

"Selain itu, saya turut menyediakan dana dengan jumlah sama kepada Hospital Kecemasan Temple Universiti di Philadelphia bagi menghormati ibu saya, Judy Moore yang bekerja selama 18 tahun di Cardiomyopathy dan Pusat Pemindahan Jantung.

“Terima kasih kepada semua pasukan kesihatan yang memberi khidmat terbaik kepada kami dan semua orang di dunia yang bekerja keras untuk melindungi orang yang tersayang. Dua minggu akan datang adalah penting, jadi sila duduk di rumah,” ujarnya.