Kerajaan campuran bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang pada tahun 2013 walaupun peranan mereka adalah berbeza, kata Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra pada hari Ahad.

Yingluck, Perdana Menteri wanita pertama Thailand, sejak negara itu berubah daripada beraja mutlak kepada sistem raja berperlembagaan pada tahun 1932, memuji pembangkang kerana memantau prestasi kerajaan dan penggubal undang-undang parlimen semasa tahun 2012. Beliau berkata lagi walaupun masing-masing mempunyai peranan yang berbeza tetapi mereka semua berkongsi satu matlamat iaitu bagaimana menjadikan negara lebih maju.

Agensi Berita Thai (TNA) melaporkan bahawa Perdana Menteri juga menggesa untuk mengakhiri pecah belah sosial dan keganasan di negara itu yang telah wujud berikutan rampasan kuasa yang berlaku dalam menggulingkan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, iaitu abang beliau, pada bulan September 2006.

Beliau juga berikrar bahawa dia akan membuktikan kepimpinannya kepada rakyat dan ini mungkin mengambil masa kerana dia masih lagi muka baru dalam arena politik.

Yingluck juga berkata beliau bersedia untuk mendengar kritikan dan meningkatkan kerja kerajaan.

Yingluck berkata beliau telah bersedia untuk bekerja untuk negara dan rakyat dan menyedari bahawa hanya masa yang akan membuktikan kerjayanya manakala rakyat yang akan membuat keputusan muktamad.