BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha menzahirkan rasa puas hati dan berterima kasih berikutan kebanyakan rakyatnya secara sukarela terus memakai pelitup muka untuk mencegah penularan COVID-19, walaupun mandat pemakaiannya sudah ditarik balik pada Khamis.

Bangkok Post melaporkan, jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana, pada Sabtu berkata, Prayut amat memberi perhatian kepada kesihatan orang awam kerana risiko jangkitan masih ada.

Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) mengesyorkan individu yang mempunyai masalah kesihatan, warga emas dan wanita hamil supaya mengambil dos penggalak dan juga kekal memakai pelitup muka.

Mereka yang sihat boleh menanggalkan pelitup muka apabila bersendirian, bersenam, makan dan minum atau di ruang terbuka dengan amalan penjarakan fizikal, pesan DDC.

Thailand telah merekodkan sejumlah 2,378 kes COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam lalu, engan 17 kematian, menurut Kemeterian Kesihatannya.

Menteri Pendidikan Trinuch Thienthong, pula berkata, pelitup muka masih perlu dipakai di institusi pendidikan, kecuali ketika menghdiri aktiviti di luar bangunan.

Pada masa yang sama, kementerian itu bimbang dengan kanak-kanak yang terlalu muda untuk divaksinasi.

Pada Ahad, Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt menjalankan aktiviti larian pagi di Taman Lumpini sambil memberitahu warganya bahawa mereka boleh membuka pelitup muka mereka apabila sedang beriadah.

Sejak kerajaan menarik semula arahan pamakaian pelitup muka, orang ramai kini boleh berbuat demikian dengan syarat mereka berjarak satu meter antara satu sama lain.

"Undang-undang sudah berubah, namun kita tidak boleh ambil mudah situasi semasa, apatah lagi varian Omicron masih aktif,” ujar beliau.