RIBUAN penduduk Brazil mengadakan protes di Rio de Janeiro, sebagai membantah tindakan Presiden, Jair Bolsonaro dalam menangani pandemik COVID-19 di negara itu. 

Mereka mengadakan perarakan kereta dan motosikal secara besar-besaran di jalan-jalan utama di bandar itu dengan laungan "Bolsonaro out". 

Kumpulan itu juga mendakwa kerajaan gagal menguruskan penempatan dan pengagihan vaksin COVID-19. 

Pada masa sama, mereka menyalahkan tindakan kerajaan yang menyebabkan krisis  bekalan oksigen kepada pesakit COVID-19 di Amazon, Manaus. 

"Brazil sudah terdesak. Kita sudah lihat apa yang berlaku di Manaus, dan negeri-negeri lain yang berhadapan dengan risiko sama. 

"Kekurangan bantuan oksigen di hospital. Ramai yang mengalami sesak nafas dan perkara itu tidak boleh dibiarkan berterusan," kata seorang peserta protes, Maria de Albuquerque. 

Presiden Brazil itu turut dijangkiti COVID-19 pada Julai tahun lalu, dan bertegas untuk menolak saranan pakar kesihatan dan saintis bagi mengetatkan kawalan aktiviti sosial serta ekonomi. 

Jelas Bolsonaro, kesan pelaksanaan perintah berkurung adalah lebih teruk daripada pandemik.