SINGAPURA: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan pada Khamis selepas melarikan diri ke Singapura setelah beliau menghadapi protes besar-besaran di dalam negaranya berhubung cara pemerintahannya menangani masalah krisis ekonomi.

Beliau sebelum ini dipercayai mahu meninggalkan Sri Lanka sebelum meletakkan jawatan bagi mengelak kemungkinan ditangkap di bawah pentadbiran baharu.

Surat peletakan jawatan itu dihantar melalui e-mel kepada Speaker Parlimen yang berkata bahawa beliau akan menyelesaikan proses undang-undang dan mengumumkannya secara rasmi pada Jumaat.

Kos makanan, bahan api dan bekalan asas lain telah melonjak di Sri Lanka berikutan krisis ekonomi yang diburukkan lagi dengan Perang Ukraine.

Jawatan Presiden kini dipangku oleh Ranil Wickremesinghe iaitu Perdana Menteri negara itu.

Gotabaya telah melantik Wickremesinghe sebagai Pemangku Presiden ketika beliau berada di luar negara.

Ini kerana pada awal Rabu lalu, beliau melarikan diri dengan menaiki jet tentera ke Madivies sebelum pergi ke Singapura.

Beliau tiba di Singapura pada Khamis selepas terbang ke Maldives sebelum ini.

BACA: Singapura sahkan Presiden Sri Lanka dibenar masuk ke republik itu

Laporan menyatakan dia ditemani isteri dan dua pengawal peribadinya.

Kementerian Luar Singapura bagaimanapun berkata, Gotabaya tidak meminta suaka politik. - Sinar Harian