COLOMBO: Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa pada Isnin mengarahkan pegawainya untuk mengimport bekalan bahan api dengan kadar segera, lapor Xinhua.

Menurut Bahagian Media Pejabat Presiden, gabenor bank pusat bersetuju membayar tunggakan secara ansuran kepada beberapa syarikat minyak yang terlibat.

Sri Lanka berhutang kira-kira AS$700 juta bagi pembekalan minyak sebelum ini, menurut Menteri Tenaga dan Kuasa Kanchana Wijesekera.

Rajapaksa memberi arahan itu ketika mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat yang bertanggungjawab mengimport dan membekalkan bahan api ke Sri Lanka.

Presiden juga mengarahkan pegawainya untuk membuat perancangan menguruskan bekalan bahan api dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Jurucakap Kabinet, Bandula Gunawardena berkata bahan api hanya boleh dibekalkan kepada kenderaan yang menjalankan perkhidmatan penting berkuat kuasa tengah malam Isnin hingga 10 Julai.

-- BERNAMA