PRESIDEN Sri Lanka akhirnya berjaya melarikan diri ke Maldives pada awal Rabu, selepas dilaporkan 'terperangkap' di lapangan terbang akibat dihalang pegawai imigresen daripada menaiki pesawat.

Terdahulu pada Sabtu, Presiden Gotabaya Rajapaksa dan isteri meninggalkan kediaman rasminya yang dibanjiri puluhan ribu rakyat terdiri daripada penunjuk perasaan antikerajaan.

Beliau kemudiannya terpaksa bermalam di pangkalan tentera yang terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa di Colombo.

Rajapaksa, 75 tahun, dipercayai mahu melarikan diri ke luar negara bagi mengelak daripada diberkas sebelum meletakkan jawatan.

Memetik sumber imigresen, media antarabangsa melaporkan, Rajapaksa, isteri dan seorang pengawal keselamatan merupakan antara empat penumpang yang menaiki pesawat tentera Antonov-32, berlepas dari lapangan terbang antarabangsa menuju ke Maldives.

BACA: Presiden Sri Lanka 'terperangkap', berdepan rusuhan di lapangan terbang dalam cubaan melarikan diri 

Seorang pegawai imigresen dilaporkan berkata kepada AFP, pasport mereka dicop dan mereka menaiki penerbangan khas tentera udara.

Sebaik tiba di Male, ibu negara Maldives, mereka dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan dengan diiringi anggota polis.

Minggu lalu, Rajapaksa berjanji untuk meletak jawatan pada Rabu bagi membolehkan proses peralihan kuasa berjalan lancar susulan protes terhadapnya berkaitan krisis ekonomi negara itu.

Beliau meninggalkan kediaman rasminya di Colombo pada Sabtu, sebelum ia diserbu ribuan penunjuk perasaan, dan dipercayai meneruskan perjalanan ke Dubai.

Sebagai Presiden, Rajapaksa mempunyai imuniti dari diberkas.