PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelensky menawarkan ganjaran AS$1 juta (RM4.32 juta) kepada saintis negara itu yang berjaya menghasilkan vaksin COVID-19.

Jurucakapnya, Yuliya Mendel, berkata presiden itu percaya jumlah berkenaan adalah insentif yang baik bagi tujuan menyelamatkan ratusan ribu nyawa.

"Zelensky benar-benar mahukan saintis Ukraine bekerja lebih aktif ke arah membangunkan ubat-ubatan yang akan membantu seluruh dunia," kata Mendel dalam kenyataan kepada AFP.

Beliau berkata, permintaan Zelensky untuk membangunkan vaksin COVID-19 itu telah dihantar kepada Akademi Sains Ukraine bulan lepas.

Mendel bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana ganjaran sebanyak AS$1 juta itu akan dibiayai oleh negara berkenaan yang ekonominya terjejas teruk akibat konflik dengan pemisah disokong Rusia dan bergantung kepada pertolongan antarabangsa.

"Setakat ini kami tidak bercakap mengenai sumber khusus untuk wang itu," katanya.

Negara bekas Soviet dengan penduduk kira-kira 42 juta orang itu sehingga kini merekodkan 3,102 kes COVID-19 dengan 93 orang telah meninggal dunia.

Ukraine bertindak menutup sekolah, universiti dan ruang awam untuk membendung penyebaran virus itu, selain menghentikan sistem pengangkutan metro di tiga bandar raya.

Pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan kepentingan pembangunan vaksin COVID-19 untuk menghentikan penularan penyakit yang telah menyebabkan lebih 100,000 kematian di seluruh dunia sejak mula dikenal pasti di China hujung tahun lepas.