MANDALAY: Protes ke atas junta tentera Myanmar di Mandalay semakin memuncak pada Ahad.

Jalan-jalan utama di bandar kedua terbesar Myanmar itu dipenuhi ribuan penunjuk perasaan yang membantah tindakan junta tentera.

Pada Sabtu, sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan terbunuh selepas terkena peluru hidup yang dilepaskan pihak tentera Myanmar.

Empat dilaporkan maut di Mandalay, dua di Twante dan seorang lagi di Yangon.

Maklumat dan gambar mangsa terkorban turut didedahkan di pelbagai platform media sosial.

Angka sebenar kematian mungkin lebih tinggi susulan pihak polis didakwa telah merampas mayat mangsa.

Pada masa sama, beberapa mangsa yang cedera ditembak dikatakan sukar menerima rawatan di klinik-klinik.

Malah, kebanyakan hospital dipenuhi pasukan keselamatan dan menyebabkan penunjuk perasaan mengelak untuk mendapatkan rawatan di situ.

Pakar Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bebas untuk Myanmar, Tom Andrews dalam pada itu mendedahkan tentera di Asia Tenggara itu telah membunuh sekurang-kurangnya 70 orang dan jumlah itu meningkat sejak junta tentera menggulingkan  pemerintahan Aung San Suu Kyi.