PRU Thailand: Lebih 4,700 calon bakal bersaing rebut 400 kerusi

Bernama
April 8, 2023 22:16 MYT
Penyokong parti-parti politik berhimpun ketika calon-calon pilihan raya tiba untuk proses pendaftaran di stadium Pusat Belia Thailand-Jepun di Bangkok, 3 April 2023. (Foto AP)
BANGKOK: Seramai 4,781 calon daripada 70 parti politik telah mendaftar untuk bertanding bagi merebut 400 kerusi dalam Pilihan Raya Umum 14 Mei akan datang.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand Sawang Boonmee berkata sebanyak 67 parti mengemukakan 1,898 nama untuk 100 calon 'party-list' yang akan diputuskan melalui perwakilan berkadar.
"Sebanyak 43 parti politik mengemukakan 67 nama sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya akan datang," katanya.
Beliau berkata Bangkok mempunyai jumlah calon tertinggi iaitu sebanyak 498 calon yang akan bertanding di 33 kawasan.
Pendaftaran untuk semua kawasan dan calon berakhir pada Jumaat.
SPR menetapkan 14 Mei sebagai tarikh pengundian manakala undi awal pada 7 Mei.
-- BERNAMA
#pilihan raya umum Thailand #parti politik #Sawang Boonmee #Bangkok